Friday, January 15, 2010

Gerhana Matahari 15 Januari 2010

Lihat kreativiti lensa Sdr Shahrin di falak Online


Tuesday, January 12, 2010

Sultan Selangor BERTITAH



SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah bertitah dan sekali gus menunjuk jalan.

Baginda mahu semua pihak di negeri Selangor berpegang teguh kepada pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh semua agama, kecuali Islam.

Baginda memaklumkan yang pendiriannya itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

Baginda bertitah demikian pada 5 Jan. dalam pertemuan dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa bagi membincangkan perintah hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lau Bee Lan, 31 Dis. lalu, membenarkan akhbar mingguan Roman Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah.

Turut menghadap adalah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid, Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin dan Penasihat Undang-Undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu menjadi lebih penting kerana di Selangorlah paling banyak gereja dirosakkan dan Baginda sendiri akrab dengan ramai pembesar bukan Islam.

Selain itu, orang Islam Selangor khasnya dan penduduk Selangor amnya memerlukan panduan yang jelas dan nyata kerana kerajaan Pakatan Rakyat negeri nampaknya berpecah-belah dalam hal ini.

Diharapkan pendirian tegas dan jelas Sultan Sharafuddin Idris Shah ini akan menjadi contoh dan meredakan kegelisahan umat Islam yang tidak mahu kalimah Allah digunakan oleh agama-agama lain.

Titah Baginda itu adalah selaras dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya yang ke-82 pada 5 Mei, 2008 yang berbunyi:

“Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khas bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimat tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Adalah diharapkan Raja-Raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu (yakni negeri-negeri yang beraja) yang lain akan segera membuat titah bagi meredakan kegelisahan umat Islam dan menyatakan dengan jelas kepada rakyat jelata bukan Islam mengenai kegelisahan orang Islam itu.

Nota Kaki: Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kedah. Tetapi sejak mula bekerja pada tahun 1969, saya menetap dan mengundi di Selangor. Jadi saya adalah rakyat ke bawah Duli Sultan Selangor. Daulat Tuanku.

Kemelut Pemikiran Agama

Kemelut Pemikiran Agama
Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas
Mantan Ketua Pengarah

06/01/2010 | Utusan Malaysia

Artikel ini telah diterbitkan pada 06 Januari 2008 di akhbar Mingguan Malaysia

SEWAKTU sampai di pejabat sehari selepas Krismas, saya perhatikan ada satu halaman daripada akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007 telah diletakkan di atas meja saya. Ternyata kemudian yang ia adalah satu makalah berjudul "Pemimpin gereja menjelaskan penggunaan perkataan ‘Allah'. Saya mula membaca rencana tersebut, dan semakin jauh saya menekuninya semakin memuncak tekanan darah saya. Sesudah meneliti laporan tersebut dan memahami isi kandungannya, dari sedikit gusar saya jadi betul-betul berang.

Joseph Masilamany mengemukakan pendapat bahawa "penggunaan perkataan ‘Allah' untuk merujuk kepada Tuhan di kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam", ini tentunya menurut para pemimpin Kristian. Wartawan tersebut menemu ramah penyunting akhbar mingguan Katolik tempatan, Paderi Lawrence Andrews, dan agaknya turut berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri. Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa, "istilah ‘Allah' yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan. Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah' sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan' sebagai terjemahan untuk istilah Lord."

Beliau seterusnya mendakwa bahawa "mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan ‘Allah' telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God." Beliau turut menyatakan bahawa "para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah' untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat."

Menurut Rev. Herman Shastri, "para penganut Kristian yang tinggal di negara-negara majoriti Muslim menggunakan kalimat ‘Allah' apabila merujuk kepada Tuhan dalam upacara doa umum (liturgy) mereka. Biarpun pihak berkuasa tidak membenarkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu, pihak gereja akan terus memakainya kerana perkara ini bersangkut-paut dengan buku-buku suci kami (huruf condong adalah penegasan saya). Pendapat yang serupa turut dinyatakan dalam satu laporan terbitan akhbar The Star pada 28 Disember 2007.

Apa yang mendukacitakan adalah cara dua wakil Kristian tadi menghujahkan dasar pendirian mereka, yang, pada hakikat sebenarnya, hampa dari pertimbangan yang bernas lagi benar.

Biarlah saya tegaskan bahawa dakwaan yang mereka tidak berniat "menyinggung perasaan masyarakat Islam atau menimbulkan kebingungan" sarat dengan unsur perbantahan. Hakikatnya, perlakuan dan sikap mereka dalam mengemukakan hujah telah pun menggusarkan orang Islam. Mereka lupa, atau tidak memahami hakikat bahawa bahasa dan fikiran, yang satunya saling mencerminkan yang satu lagi; dalam perkataan lain, cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa, dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir. Kita telah diperingatkan akan dakwaan mereka, "Bible bahasa Melayu menggunakan ‘Allah' untuk God dan ‘Tuhan' untuk Lord." Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah. Apakah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul dalam bahasa Melayu? Bahasa Melayu memahami istilah ‘Tuhan' untuk merujuk kepada God dan bukan istilah Lord. Orang-orang Melayu faham bahawa apabila istilah Arab ‘ilah' digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘God' dan istilah Melayu ‘Tuhan'; dan apabila istilah Arab ‘rabb' digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘Lord'. Justeru, apabila kalimah syahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya "tiada Tuhan melainkan Allah", yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai "there is no God except Allah". Sekiranya istilah ‘God' diterjemahkan sebagai ‘Allah', maka terjemahan tersebut akan berbunyi "Tiada Allah melainkan Allah" ("There is no Allah but Allah"), yang merupakan satu percanggahan. Terjemahan yang sebegitu janggal bukan sahaja tidak menjernih dan menyelesaikan masalah, bahkan akan menimbulkan perselisihan dan rasa bingung. Akan tetapi, Paderi Lawrence sememangnya sarat dengan percanggahan. Beliau menggunakan rangkai kata ‘bahasa Malaysia' merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhi keperluan "ramai penganut Katolik yang bertutur dalam bahasa Malaysia" di negara ini. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu. Apabila seseorang itu merujuk kepada satu bahasa yang mencerminkan faham-faham maknawi ajaran-ajaran atau kelaziman aqidah yang tertentu - dalam hal ini bahasa Melayu - dia tidak seharusnya melalaikan pengertian penting bahasa tersebut bernisbah kepada bahasa-bahasa yang lain. Walau bagaimanapun, jelas bahawa Paderi Lawrence bergantung kepada fakta yang Jemaah Menteri memutuskan bahawa bahasa Melayu tidak lagi dirujuk sebagai ‘bahasa Melayu', tetapi sebagai ‘bahasa Malaysia'. Itu ketetapan siasah dan justeru itu mungkin hanya bersangkutan dengan medan siasah. Secara ringkasnya, bahasa Melayu khusus bernisbah kepada orang-orang Melayu. Ia adalah satu bahasa yang faham- faham utamanya yang berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang kudus dengan yang nista (the Sacred and the profane) telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu - budaya Melayu itu sendiri terhasil dari agama Islam. Oleh itu, sekiranya peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajiblah mencerminkan kelaziman Melayu, yang berpunca dari agama Islam.

Paderi Lawrence juga mendakwa, "Kami mengikut Bible," mengenai penggunaan istilah ‘Allah' bila merujuk kepada istilah ‘God'. Apakah itu benar? Apakah beliau betul-betul menggunakan Bible sebagai sumber rujukannya? Terjemahan atau versi Bible mana yang beliau rujuk? Terdahulu kita telah memetik laporan media bahawa Paderi Lawrence mendakwa, "semenjak awal abad ke-19, para penganut agama Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan ‘Allah' digunakan merujuk kepada God, dan para penganut Katolik Malta juga menggunakan istilah ‘Allah' untuk merujuk God dan demikian juga para penganut Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat." Jelas di sini bahawa, sumber rujukannya bukanlah Bible seperti yang didakwanya, tetapi masyarakat Katolik abad ke-19 Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan dan Asia Barat. Dengan demikian, Paderi tersebut mengandaikan masyarakat itu satu kejadian hidup (being) yang pasti boleh berfikir dan bertindak berdasarkan akal fikiran. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, masyarakat bukanlah kejadian hidup dan justeru itu tidak mempunyai kebolehan berfikir dan bertindak secara aqliah. Sekiranya sesuatu itu tidak boleh berfikir secara aqliah, bagaimana ia boleh dikutip sebagai sumber rujukan yang sah, apatah lagi dalam hal-ehwal nisbah hubungan antara yang kudus dan yang nista? Tambahan pula dan lebih penting, perkataan ‘Allah' adalah nama khas (proper name), sedangkan kalimat ‘Tuhan' (‘God') adalah istilah umum yang merujuk kepada objek tumpuan kemuliaan teragung yang tiada nama, Pencipta Yang Maha Esa dan Pemerintah alam semesta. Berdasarkan kepada hakikat bahawa perkataan ‘Allah' adalah nama khas, ia bukanlah istilah yang mencerminkan bahasa kebangsaan. Justeru, hujah Paderi Lawrence yang mendakwa Bible Melayu menggunakan istilah itu, seolah-olah penggunaan istilah itu dalam bahasa Melayu mencerminkan bahasa kebangsaan, adalah karut semata-mata. Tambahan pula, walaupun seseorang itu mungkin mengakui bahawa benar orang-orang Kristian Arab di Asia Barat menggunakan istilah ‘Allah', mereka tidak menggunakannya merujuk kepada istilah ‘God' yang tercermin dalam Bible atau terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab. Kalaupun mereka ada menggunakan istilah ‘Allah' dalam pertuturan, itu adalah kerana mereka menuruti kelaziman orang Arab sejauh mana yang berkenaan dengan kebudayaannya, bukan untuk membayangkan sehimpun kepercayaan i‘tiqad yang tertentu. Pernahkah Paderi Lawrence atau Rev. Herman Shastri membaca terjemahan Bible dalam bahasa Arab? Apakah mereka memahami bahasa Arab?

Dari segi falsafah maknawi, tidak terdapat tasawur kefahaman mengenai ‘Allah' dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga; oleh kerana itu agama-agama tersebut tidak berhak untuk menggunakan istilah ‘Allah'. Apabila Perdana Menteri memberikan kebenaran kepada dialog ‘antara-agama', pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju yang dialog tersebut tidak akan bertentang hujah mengenai akidah, berdasarkan kepada hakikat bahawa pelbagai ajaran agama telah pun "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam perkara-perkara berkisar akidah. Secara amnya semua kalangan yang terbabit telah pun bersetuju dengan ketetapan tersebut. Walau bagaimanapun, sekarang, tampaknya Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak berpuas hati sekadar berbahas mengenai perkara-perkara akhlakiah, justeru kita terpaksa menangkis hal-ehwal berkaitan i‘tiqad yang ditimbulkan tadi.

Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible. Jika ada yang mendakwa nama Tuhan adalah Jesus, maka kenapa istilah ‘Tuhan' (‘God') diterjemah dengan menggunakan kalimat ‘Allah' dan bukan ‘Jesus'? Oleh kerana nama khas Tuhan tidak disebut dalam Bible, berlakulah suatu kekaburan mengenai siapa yang disembah. Apakah nama khas Tuhan dalam agama Kristian? Sesungguhnyalah kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas-Nya bercanggah dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tidakkah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenal siapa Tuhan? Oleh kerana kita telah berhujah bahawa kalimat ‘Allah' adalah nama khas dan pengertian sedemikian tidak ada dalam agama Kristian atau apa-apa juga agama lain, kita bolehlah dengan ini menyimpulkan bahawa sumber rujukan sebenar Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri bukanlah Bible atau perkumpulan masyarakat Katolik abad ke-19 di Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan, dan di Asia Barat, tetapi sumber asal mereka adalah al-Quran. Oleh itu, marilah kita meneliti apa yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai siapa Tuhan. Untuk tujuan ini, kita rujuk kepada surah al-Quran yang ke-112 dan pengenalan tafsirnya. Pengantar huraian surah tersebut berbunyi,

Peliharalah iman agar sentiasa murni dan tiada cemar.

Allah benar wujud, Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal; Yang Maha Kekal Diperlukan, sunyi dari sebarang keperluan; kepada-Nya bergantung semua perkara, kepada-Nya kembali semua benda; Dia tidak beranak, berbapa atau berpasangan. Bagi-Nya tiada suatu pun tara. (Lihat Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.)

Jelas bahawa bahagian akhir penerangan tafsir menyanggah pemerian Tuhan Tiga-Bersatu (Trinity) oleh Bible. Sekiranya pembaca meneliti surah itu, ia berbunyi,

Katakanlah: Dia adalah Allah, Yang Maha Esa. Allah, Yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara.

Dari awal-awal lagi nama Tuhan dinyatakan, Allah. Ini diikuti dengan pemerian bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya; sebarang benda yang lain semuanya hanya bayangan pucat bernisbah kepada-Nya. Allah tidak mungkin difahami sebagai memiliki anak atau bapa kerana itu akan memasukkan sifat benda bernyawa dalam kefahaman kita mengenai-Nya; sifat-sifat dan hakikat-Nya tunggal tersendiri tidak ada tara-Nya (ringkasan kepada catatan no. 6296, Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation, 1991, ms. 1714). Ayat "tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan" menyangkal kefahaman agama Kristian mengenai Tuhan, "Bapa", "Anak", dan seterusnya (rujuk catatan no. 6299 dari sumber yang sama). Bahagian terakhir surah tersebut, Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara memberi amaran "jangan menganggapi Tuhan dalam sifat rupa bentuk manusia (anthropomorphism), iaitu kecenderungan untuk menganggapi Allah menurut rupa dan bentuk serta sifat kita sendiri, satu kecenderungan licik yang menyusup dalam setiap zaman dan di kalangan semua bangsa (lihat catatan no. 6300 sumber di atas). Nyata bahawa ‘Tuhan' Islam bukanlah ‘Tuhan' Kristian. Saya nyatakan kepada para pembaca, bahawa pandangan Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak mencerminkan sebahagian besar penganut Katolik, gereja, atau Paus. Sesungguhnya niat serta tujuan mereka bukan sahaja untuk menyerang dan menimbulkan kekalutan di kalangan orang-orang Islam, tetapi juga para penganut Katolik. Kaedah mereka adalah melalui bahasa; akan tetapi, oleh kerana kita menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak maka makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau-bilau. Dalam hal ini, mereka menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katolik istilah ‘God' diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai ‘Allah', satu kalimat yang mencerminkan tradisi pemikiran Islam. Dan justeru itu, makna sebenar istilah asal ‘God', seperti tergambar dalam tradisi pemikiran Katolik, dengan sengaja sedang dikelirukan.

Tadi telah kita sebut bahawa, dalam kenyataan yang dilaporkan akhbar The Star (28 Disember 2007), Paderi Lawrence menegaskan, "kami telah mengambil keputusan supaya kedudukan kami dari segi undang-undang mengenai penggunaan perkataan tersebut diselesaikan melalui ketetapan mahkamah." Apakah mahkamah memiliki kuasa ke atas tradisi pemikiran agama? Apakah beliau berpendapat mahkamah memiliki kuasa membuat ketetapan mengenai siapa Tuhan? Apakah beliau menyangka mahkamah memiliki kuasa ke atas sekian banyak generasi ilmuwan dan sarjana terpelajar yang pandai lagi berkeahlian mengenai aqa‘id? Eloklah saya mengingatkan beliau, dalam surat peringatan dari pejabat Timbalan Perdana Menteri bertarikh 16 Mei 1986 berkenaan empat peristilahan Islam yang tidak boleh digunakan dalam Bible, dalam apa-apa jua keadaan iaitu: ‘Allah', ‘Kaabah', ‘Baitullah', dan ‘Solat'. Difahamkan keputusan Kabinet itu masih mengikat; dalam hal ini, sebarang tindakan yang dikemukakan oleh pihak Paderi Lawrence ke mahkamah bukan sangat untuk mencabar kedudukan undang-undang berkenaan penggunaan oleh gereja Katolik akan kalimat ‘Allah' untuk menterjemahkan istilah ‘Tuhan' (‘God') dalam Bible. Tetapi lebih dahsyat, ia satu cabaran yang menentang keputusan jemaah Menteri. Malaysia memiliki jemaah Menteri dan Parlimen perwakilan rakyat adalah bertonggakkan Rukunegara. Tiang seri pertama Rukunegara dalam bahasa Inggerisnya, "Belief in God" yang merupakan terjemahan cermat lagi tepat daripada bahasa Melayu "Kepercayaan kepada Tuhan". Terjemahan Inggerisnya tidak berbunyi "Belief in Allah" kerana, barangkali kalau begitu Rukunegara akan dituduh sebagai memaktubkan Malaysia negara Islam atau Islamic State.

Anda tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran akidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran akidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi anda. Perlihatkan rasa hormat kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persis sikap orang Islam yang menghormati istilah dan faham dasar anda. Kami tidak merujuk tempat pemujaan anda selaku masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan seterusnya. Kami tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan anda sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya. Kami tidak merujuk kepada tumpuan sembahan anda sebagai Allah tetapi sebagai Tuhan. Kami tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu; cuma, seandainya ada yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai bahasa Melayu, cukup berdaya cipta lagi kreatif untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran akidah agama masing-masing. Sementara itu, adalah wajar bagi Paderi Lawrence Andrews dan Rev. Herman Shastri bersikap lebih teliti, waspada dan berhati-hati.

Sunday, January 10, 2010

Sekilas 32


Ketika saya di Shenzhen kala ini, saya sibuk dengan urusan pengebumian Allahyarham Pak Cik saya, Haji Wahid bin Haji Omar.

Beberapa kali saya dihubungi untuk diminta untuk mengulas mengenai isu penggunaan nama Allah bagi orang bukan Islam.

Saya sudah baca bererapa pendapat. Di Malaysiakini, saya membaca mengenai komen Dr. Asri yang memperlecehkan kenyataan Dato’ Haron Din.

Kesempatan ini saya ingin menulis, sama seperti tulisan saya yang lalu, bukan dari kacamata Islam dan bukan juga dari kacamata orang politik. Tapi reality yang berlaku.

Saya pernah memasuki gereja. Saya pernah memberikan sedikit tazkirah di dalam gereja. Bukan kepada orang Islam tetapi kepada pesakit HIV yang duduk di dalam gereja pertengahan tahun 2009.

Mereka adalah goang yang terlantar sakit dan tidak ada orang Islam yang mengambil dan menjaga mereka.

Para ustaz lebih selesa berforum di atas pentas membicarakan soal kasih sayang dari turun menterjemahkan kasih sayang di dalam tindakan.

Di dalam gereja itu, ada menggunakan perkataan Allah.

Beberapa orang telah meninggal dan ada yang pernah diurus oleh pihak gereja.

Agak-agak kita, ketika orang nazak sakit, katakan datang seorang paderi dan berkata:-

“tak apa, Allah akan memberkati kamu, anaknya Isa juga akan memberkati kamu sebab Allah berfirman bahawa ikutlah anak aku Isa dan kamu akan selamat”

Agak-agak, keliru tak?

Jika ada anak kita nanti sakit di hospital, datang orang dengan baju yang kemas dan berkata:-

Jangan risau, kita doa pada Allah agar Allah menyembuhkan adik, asalkan kita berdoa juga pada anaknya Isa.

Agak-agak, keliru tak?

Kalau ada mangsa banjir yang orang Islam lambat datang, tiba-tiba ada orang datang membawa bantuan:-

“Tak apa, tak payah berterima kasih, ini semua dari Allah, Allah dan anaknya menggerakkan saya dan kawan-kawan untuk datang memberi bantuan di sini”.

Agak-agak, keliru tak?

Alangkan belum dibenarkan secara rasmi pun, mereka telah menggunakannya. Bayangkan kalau kebenaran diberi secara rasmi.

Para ustaz dan Dr serta agamawan berteori banyak. Mereka boleh memukau kita dengan ayat-ayat al-Quran dan hujah-hujah memperlecehkan antara satu sama lain.

Dengan izin Allah, saya berkecimpung terus dengan masyarakat. Dan kebimbangan saya bukan teori. Ia adalah perkara yang benar-benar berlaku.

Ingatlah, membenarkan menggunakan perkataan Allah bukan perkara yang boleh nak dicuba-cuba. Ia bukanlah Try and Error. Ia soal masa depan anak kita.

Ada orang berkata:-

Buat apa takut, Islamkan kuat

Saya tidak takut cuma bimbang, kerana realiti suasana sekeliling tidak membantu kita meningkatkan penghayatan Islam.

Kalau slot TV sudah banyak berbicara pasal Islam, slot radio telah banyak, majalah-majalah Islam telah banyak, kala itu barulah kita boleh berbicara dalam bahasa “untuk berdakwah”

Kala ini, kita masih dalam fasa berusaha mempertahankan Islam yang ada bersungguh-sungguh. Orang kita sendiri tak membantu kita, nak harapkan orang lain? Nak harapkan orang sokong kita hanya dengan sekadar dengan membenarkan penggunakaan nama Allah, atau kita atau anak-anak kita akan semakin keliru dan keliru.

Agamawan teori hanya nanti akan berkata,

“Ah, tak apa, kalau ijtihad kita salah pun, kita dapat satu pahala, kalau betul, kita dapat dua pahala”

Tapi kalau salah itu kesannya lebih teruk untuk anak bangsa, adakah sekadar berkata “tak apa” kala itu.

Ketika saya menemuduga anak-anak yang ingin masuk ke dalam sekolah MASSA (Maahad Sains al-Quran al-Amin) ada di kalangan ibu ayah yang begitu yakin dengan kefahaman agama anak mereka.

“Ustaz, terimalah anak saya, anak saya bagus dalam ujian KAFA”

Ketika saya bertanyakan bilangan rukun Islam dan rukun Iman, masih ada lagi yang tertukar. Jika masuk ke syurga itu diukur dengan ujian KAFA, sudah tentu anak dia ni tak akan masuk kerana rukun iman dan Islam pun tertukar bilangannya.

Ini yang benar-benar saya hadapi. Kalau itu pun dah keliru, nak harapkan dia tak akan keliru dengan tulisan yang akan digunakan oleh kristian nanti.

“Allah akan memasukkan kita semua ke dalam syurga jika kita meyakini anaknya Isa”

Agak-agak, keliru tak?

Saya secara peribadi tidak bersetuju melainkan jika setelah suasana sekeliling menjadikan anak-anak kita terjaga akidah, syariat dan akhlak mereka. Jika masih belum, maka ia akan berbahaya untuk generasi Islam akan datang. Semoga Islam terus terpelihara, amin…

“Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

10 Januari 09 jam 10.30 malam

* Ada boleh juga membaca artikel di bawah ini


http://www.ustazamin.com/2009/02/sekilas-11-pewartaan-kalimah-allah.html

http://www.ustazamin.com/2009/03/sekilas-12-isu-kalimah-allah-iktibar.html

Saturday, January 9, 2010

Perhimpunan 8Januari2010


Perhimpunan Bantahan Isu kalimah “Allah” Di Masjid Negeri


SHAH ALAM 8 Jan – Lebih seribu orang menyertai perhimpunan secara aman di Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Jumaat bagi membantah penggunaan kalimah Allah di penerbitan katholik Majalah Herald-The Catholic Weekly yang kini menjadi isu kontrovesi.
Perhimpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berlangsung hampir 30 minit turut disertai beberapa NGO bagi menyatakan pendirian orang Islam sebagai membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang memberi kebenaran kepada penerbitan katholik menggunakan kalimah Allah.

Orang ramai menaikkan sepanduk bertulisan, antaranya “ Penggunaan perkataan ALLAH hanya untuk orang Islam sahaja!!”, “Kami bantah keras penggunaan kalimah ALLAH!”, “Bersama mempertahankan kesucian kalimah ALLAH”, dan “Jangan cabar toleransi orang Islam”.

Bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah.oleh orang bukan Islam turut dibangkitkan dalam khutbah Jumaat yang telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Khutbah tersebut dibacakan di beberapa masjid tertentu di negeri Selangor.

Pada 31 Disember yang lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya. Keputusan itu mengundang reaksi negatif banyak pihak terutama masyarakat Islam. Mahkamah yang sama bagaimanapun menangguhkan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Friday, January 8, 2010

Khutbah Khas: 8 Januari 2010


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita dan menghadapkan seluruh jiwa raga kita kehadrat Allah S.W.T., dengan merenung, berfikir secara mendalam, tentang kebesaran Allah dan segala rahmat kurniaan-Nya.

Mereka yang sering mengingati Allah jiwanya akan tenang, hatinya akan tenteram, sehingga halus budi pekerti dan tutur katanya.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah ar-Ra'du: ayat 28:-

Bermaksud:
"Orang yang beriman menjadi tenang hatinya dengan mengingati Allah, ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati akan tenang".

Muslimin yang berbahagia,

Dalam Al-Quran yang mengandungi lebih daripada 600 halaman, kalimah Allah diulang-ulang setiap halaman. Mereka yang membaca seluruh Al-Quran akan menyebut lebih 20 ribu kali. Dalam solat pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat sehari semalam. Begitulah intimnya umat Islam dengan kalimah Allah.

Perkataan Allah menurut Ensiklopedia Islam adalah merujuk kepada sebutan atau nama Tuhan yang tiada Tuhan selain Allah atau Tuhan Yang Maha Esa.

Menurut ensiklopedia Katholik, ianya telah dicatat bahawa "perkataan Allah adalah kalimah dalam bahasa arab, ianya hanya digunakan di kalangan orang Islam bagi nama tuhan mereka".

Umum mengetahui perkataan Allah tidak pernah terdapat dalam bahasa asal perjanjian lama yang dikenali sebagai Taurat dan perjanjian baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Kitab Taurat ditulis dalam bahasa Hebrew, manakala Bible dalam bahasa Greek.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Khamis, 31 Disember 2009, yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah "Allah" amat memeranjatkan bagi semua umat Islam di seluruh negara. Berbagai reaksi telah timbul baik daripada individu, termasuk di kalangan ulama', ahli politik dan cendekiawan Islam, ataupun jawatankuasa masjid serta persatuan dan pertubuhan Islam.

Penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudharat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara agama seterusnya boleh membawa perpecahan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih-lebih lagi, apabila mengenangkan kelalaian umat Islam yang ada pada hari ini, telah memberi ruang kepada missionary bukan Islam mengambil kesempatan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Di samping itu, kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam, yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa, sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah seperti Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negara-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan mereka. Mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Umat Islam perlu sedar mengapa kumpulan tersebut memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara Arab dan kini di negara kita, Malaysia. Tahukah kita, apa sebabnya berlaku sedemikian?. Kesannya nanti, kita bimbang bahawa semua gereja akan ditukar kepada nama Baitullah (rumah Allah), bible juga akan dinamakan Kitabullah dan lebih keliru lagi apabila setiap agama yang ada di negara ini menggunakan nama tuhan mereka dengan nama Allah. Niat mereka adalah untuk menyamaratakan semua agama di negara ini. Sedangkan Islam itu adalah agama yang diredhai Allah SWT., tiada agama lain yang sebenarnya melainkan Islam. Kerana Islam datangnya daripada Allah sedangkan agama yang lain semuanya rekaan manusia semata-mata. Fikirkanlah!.

Sidang Jumaat sekalian,


Larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukan perkara baru. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat perkataan khusus iaitu; Allah, solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat sepuluh buah negeri telah memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam jadual kepada Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.
Demikian juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke - 82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008, telah memutuskan
bahawa:-

1. Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahwa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau
penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Agama Islam Selangor juga telah melaksanakan beberapa tindakan, antaranya pada 13 Mac 2009 yang lalu, mengadakan satu sidang akhbar bagi menyatakan pendirian MAIS berhubung isu ini di mana MAIS berpendirian bahawa penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja. Larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan penganut agama Islam terhadap konsep Keesaan Allah SWT.

Selain itu, MAIS turut menulis surat bertarikh 19 Mac 2009 bagi menyatakan pendirian ini kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Negara.

Muslimin yang dirahmati Allah,


Marilah kita menghadapi perkara ini dengan penuh bijaksana. Tindakan pertama kita ialah bersatu memperkukuhkan perpaduan. Kita padamkan segala permusuhan dan perbalahan di kalangan kita. Walaupun sebahagian kita berbeza ideologi, namun ianya tidak sampai menggadai maruah agama yang maha suci, semata-mata mempertahankan pangkat dan kuasa. Ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah ali-‘Imran: ayat 26:-

Maksudnya:
"Katakanlah (wahai Muhammad), "Wahai Tuhan yang mempunyai pemerintahan!, Engkaulah yang memberi pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Adalah diharapkan agar kita bertindak dengan penuh hikmah dan tidak mengambil tindakan yang melulu akibat keputusan mahkamah itu. Sebagai warga negara yang menghormati kedaulatan undang-undang, hendaklah kita bertindak dengan bijaksana di dalam lunas Undang-undang Negara. Pihak yang berkuasa sedang mengambil tindakan yang perlu mengikut proses undang-undang negara kita. Kita berdoa semoga tindakan yang mereka ambil diperkenankan dan diredhai oleh Allah S.W.T.

"Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau".
(Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Teks khutbah JAIS "BERSATU MEMPERTAHANKAN KALIMAH ALLAH"

Thursday, January 7, 2010

Antara Nama dan Hakikat


Antara Nama dan Hakikat
Md. Asham B. Ahmad
Fellow

06/01/2010 | Utusan Malaysia

Artikel ini telah diterbitkan pada 07 Mei 2008 di akhbar Utusan Malaysia

Zaman ini adalah zaman orang menuntut hak dan kebebasan. Di sana sini riuh rendah golongan itu dan ini menuntut apa yang didakwa hak mereka, yang mesti diserahkan dan dibebaskan dari belenggu itu dan ini. Salah satu hak yang heboh diperdebatkan akhir-akhir ini ialah apa yang dikatakan hak orang Kristian menggunakan kalimah ‘Allah' bagi merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh mereka. Mereka mendakwa itu hak mereka, justeru mereka mesti diberi kebebasan memperlakukan apa sahaja dengan kalimah itu. Pastinya mereka telah mengemukakan hujah mereka bagi mempertahankan ‘hak' itu, dan tidak kurang golongan Muslim sendiri yang termasuk golongan ustaz-ustaz yang memperakui kebenaran hujah itu serta menyokongnya pula. Di antara mereka ialah ustaz-ustaz politik yang hanya melihat keuntungan politik dari masalah ini. Akibatnya, belumpun mahkamah memutuskan apa-apa umat Islam di negara ini sudah berkecamuk fikirannya dan berpecah-belah pandangannya.

Hujah utama yang dikemukakan bagi mempertahankan hak orang Kristian itu ialah bukti sejarah, bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, dan terus digunakan oleh orang Arab Kristian khususnya sehingga kini. Justeru, mereka berhujah, orang Islam, lebih-lebih lagi di Malaysia ini, tiada hak untuk melarang penggunaannya.

Sebelum kita mematahkan hujah yang dikemukakan itu perlu dinyatakan dua perkara dasar: pertama, bahawa isu ini berkait dengan penggunaan kalimah ‘Allah' dalam bahasa Melayu, yakni salah satu dari bahasa yang tergolong dalam rumpun bahasa Islam; kedua, hak menggunakan sesuatu kalimah hanya sah apabila hakikat yang dirujuk dengan kalimah itu tidak lain dari hakikat yang dimaksudkan oleh kalimah itu, justeru menjadi kesalahan bagi seseorang yang meletakkan gelar Ir. di hadapan namanya jika dia bukan seorang jurutera, dan dia tidak boleh mendakwa itu haknya.

Hujah di atas boleh dipatahkan dengan jawapan-jawapan berikut. Pertama: kalimah Allah adalah nama khas, bukan kata terbitan dari mana-mana perkataan Arab. Justeru ia bukan boleh digunakan sebagai kata ganti bagi menterjemahkan sesuatu perkataan dari bahasa lain. Sebagai bandingan seorang yang bernama Mr. Black tidak boleh ditukarkan namanya kepada Encik Hitam kalau kita berbicara tentangnya dalam bahasa Melayu kerana nama itu adalah nama khas yang merujuk kepada orang yang tertentu. Kedua: memang benar kalimah itu telah sedia wujud dan digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, akan tetapi itu tidak bermakna mereka memahami maknanya yang hakiki. Sebaliknya mereka telah mensyirikkan maknanya sehinggakan kalimah Allah yang mereka sebut itu sudah hilang hakikatnya, yakni mereka menyebut Allah, tetapi mereka maksudkan yang lain. Contohnya: sekiranya yang dimaksudkan itu ialah Tuhan yang beranak atau diperanakkan maka itu bukanlah Allah, kerana Allah Maha Esa, tidak beranak mahupun diperanakkan. Sekiranya mereka berkeras dengan pendapat mereka walaupun setelah nyata kebenaran maka itu adalh pendustaan dan kekufuran. Justeru al-Qur'an mengisytiharkan: "Sesungguhnya kufurlah orang-orang yang berkata bahawa Allah itu satu dari tiga" (al-Ma'idah: 73). Mereka kufur kerana apa yang mereka katakan tentang Allah itu tidak benar, dengan kata lain apa yang mereka maksudkan itu bukanlah Allah. Ketiga: kedatangan Islam adalah bagi menyucikan kalimah itu dari penyelewengan makna yang telah berleluasa dan berlarutan zaman-berzaman. Justeru Islam datang dengan kalimah tayyibah (kalimah yang elok): la ilaha illallah, yang mengandungi penafian segala kepalsuan yang dinisbahkan kepada Allah dan pengistabatan bahawa yang layak disembah hanyalah Allah. Adalah jauh dari kebenaran mereka yang mendakwa Islam tidak pernah melarang sesiapapun menggunakan kalimah Allah. Bukankah syirik kemungkaran terbesar yang diperangi oleh Islam? Sesiapapun yang mensyirikkan Allah pada hakikatnya telah memalsukan makna kalimah itu walaupun mereka tetap menuturkannya. Keempat: oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa Islam, makna yang diisbatkan bagi kalimah Allah ialah makna yang dikehendaki oleh al-Qur'an. Justeru, usaha memberikan makna yang lain bagi kalimah itu mesti dianggap sebagai usaha merosakkan bahasa Melayu, dan oleh itu menjadi tanggungjawab orang-orang Melayu dan kerajaan yang dipimpin mereka memelihara kesucian bahasa mereka agar tidak dicemari oleh unsur-unsur asing yang boleh mengelirukan pandangan hidupnya.

Dalam kekalutan menghadapi acahan ini kita melihat langkah sumbang para ustaz yang diharapkan oleh masyarakat ke hadapan meleraikan kekeliruan mereka. Seorang ustaz berkata: bahasa dan kalimah yang disebut tidak penting dalam soal akidah Islam. Penyelesaiannya, ujar beliau, ialah dengan merujuk kepada al-Qur'an dan Sunnah, dan mencari hukum dari kedua sumber ini. Daripada ustaz ini harus dituntut penjelasan apakah perbezaan antara kalimah yang baik (kalimah tayyibah) dengan kalimah yang keji (kalimah khabithah) kerana al-Qur'an sendiri membangkitkan persoalan ini (Ibrahim: 24-27), dan menegaskan bahawa "Allah menetapkan hati orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang sabit (yakni la'ilaha illallah) dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim". Apa yang ustaz itu katakan adalah suatu kekeliruan kerana akidah yang benar tidak boleh dipisahkan dari kalimah yang benar. Alangkah berlawanan sekali apa yang dikatakan itu berbanding seruannya agar umat Islam kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah sedangkan apa yang tercatat pada keduanya itu tidak lain dari kalimah-kalimah!

Ustaz yang sama juga dengan semberononya menyalahkan ilmu kalam sebagai punca kelemahan akidah kaum Muslimin hari ini. Pada hakikatnya para ustaz yang jahil ilmu kalam seperti beliaulah yang menjadi punca kemerosotan pemikiran Muslim hari ini. Mereka ini, lantaran kejahilan sendiri, telah memusuhi ilmu kalam dan ahlinya (mutakallimun) yang banyak berjasa itu. Bagaimana boleh dimusuhi ilmu yang memberikan keahlian kepada seseorang bagi memahami Kalam Allah? Para mutakallimun adalah orang-orang yang amat menginsafi hakikat bahawa bahasa tidak boleh dipisah dari akal. Justeru al-Qur'an diturunkan dalam bentuk bahasa kepada makhluk Allah yang berakal kerana hanya yang berakal mampu memahami dan memanfaatkan bahasa. Sebagaimana Allah mengajarkan kita agamanya dengan perantaraan bahasa demikian jugalah kita menyampaikannya kepada seluruh manusia. Adakah bahasa yang lebih baik dari yang disusun menurut tertib berfikir yang sihat? Kerana bahasa juga menjadi alat menyebarkan pemikiran dan akidah yang sesat. Di sinilah sumbangan besar ilmu Kalam dan para mutakallimun. Mereka mara ke hadapan menghadapi ancaman pemikiran asing menggunakan bahasa bertertib logik bagi mengisbatkan tawhid dan menghancurkan syirik.

Syirik dalam bentuk penyembahan berhala amat mudah difahami walaupun oleh si badwi yang hidup berkelana di padang pasir. Akan tetapi Islam bukan diturunkan hanya untuk orang yang tahap pemikirannya seperti si badwi itu. Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan dikurniakan ilmu kepada darjat-darjat yang berbagai (al-Mujadalah: 11) kerana tahap akal dan kefahaman mereka tidak setaraf. Persoalan yang mendasari perbezaan antara agama khususnya antara agama Islam dan Kristian memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap dasar-dasar pemikiran, yakni falsafah. Asas-asas pemikiran yang mendasari Kebudayaan Barat yang begitu berpengaruh pada hari ini juga adalah berakar-umbikan falsafah. Justeru, bagi menghadapi mereka ilmu kalam dan tradisinya perlu dihidupkan kembali bukan diperangi dan diperlekehkan.

Unsur-unsur syirik yang terkandung dalam falsafah dan ideologi tidak mungkin difahami oleh si badwi dan orang-orang yang memiliki tahap pemikiran setaraf dengannya. Demikian jugalah tawhid, ia hanyalah omongan kosong jika diserahkan pengajarannya di tangan orang yang bukan sahaj tiada kewibawaan tetapi juga terlalu bongkak untuk mengenali dan mengakui empunya wibawa yang sebenar. Inilah masalah sebenar kita

Wednesday, January 6, 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah


Isu Penggunaan Kalimah Allah
Abu Bakar Bin Yang
Fellow

06/01/2010 | Utusan Malaysia

Artikel ini telah diterbitkan pada 06 Februari 2009 di akhbar Utusan Malaysia

Mengulas mengenai isu penggunaan kalimah Allah seperti yang digunakan oleh Herald Catholic dalam terbitan bahasa Melayunya, mungkin ada beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi untuk renungan kita bersama.

Memang telah termaktub di antara larangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia menerusi keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. Malah ada sesetengah negeri yang menambahkan lagi beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam. Namun yang peliknya kenapa masih lagi ada yang cuba menuntut kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka?

Mungkin kita boleh menjangkakan bahawa alasannya ialah kalimah Allah tersebut adalah kalimah terjemahan dari Bahasa Inggeris yang menggunakan kalimah God dalam Bible terbitan Bahasa Inggeris yang telah sekian lama digunakan.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, tuntutan ini sebenarnya amat berbahaya kepada umat Islam sekiranya dibenarkan, kerana ianya lebih banyak menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat. Cubalah kita bayangkan kekeliruan yang akan timbul di dalam masyarakat terutamanya kepada golongan muda dan juga kepada kanak-kanak Muslim apabila terbaca iklan-iklan atau papan-papan tanda yang berbunyi "...Aku adalah anak Allah" atau "...damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "...anak Allah yang hidup" yang semuanya merupakan terjemahan terus dari Bible terbitan Bahasa Inggeris. Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat atau ungkapan-ungkapan yang diterjemahkan ini boleh mengundang kekeliruan yang akhirnya boleh membatilkan fahaman agama.

Walau bagaimanapun, bagi menyingkap kekeliruan yang telah berlaku ini, elok rasanya kita melihat kepada asal-usul bahasa kitab-kitab itu sendiri. Bagi orang Islam dan juga bukan Islam, mudah untuk difahami dan diberitahu bahawa bahasa asal al Quran adalah Bahasa Arab. Dan apakah pula bahasa yang digunakan untuk kitab Injil (Bible) dan kitab Taurat? Bagi mereka yang mengkaji sejarah, secara jujur mereka akan katakan bahasa asal untuk kitab Taurat ialah Bahasa Hebrew, dan bahasa yang digunakan untuk menulis Kitab Injil (Bible) ialah Bahasa Greek.

Sekiranya fakta penggunaan bahasa ini boleh diterima sebagai asas perbincangan, maka ulasan seterusnya selepas ini akan menjadi lebih mudah. Malah bagi orang Islam, tidak perlu untuk kita menjadi pakar tentang kitab Taurat atau Injil (Bible) untuk mengupas isu gawat yang sedang berlaku ini.

Persoalannya sekarang ialah apakah perkataan yang digunakan untuk Tuhan dalam bahasa Hebrew dalam kitab Taurat dan makna perkataan Tuhan dalam bahasa Greek untuk kitab Injil (Bible).? Sekiranya Herald Catholic boleh memahami persoalan asal bahasa ini mungkin kekeliruan penggunaan perkataan Allah tidak timbul.

Ini adalah kerana perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah Elohim, Eloh, El dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The Gospel of St. Matthew bab 27: 46 yang menyebut :

Kira-kira jam tiga berserulah Jesus dengan suara nyaring: "Eli, Eli, lama sabaktani?" (Ertinya : Tuhan-Ku, Tuhan-Ku, mengapa Engkau meninggalkan aku?")

Sementara di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah Theos. Sepertimana yang tertulis dalam buku-buku sejarah atau buku-buku tamadun besar dunia, orang-orang Rom menyembah Tuhan yang dikenali sebagai Hotheos. Dan sekiranya terdapat di kalangan mereka yang menyembah Tuhan yang dianggap palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tintheos.

Jika diteliti kita akan dapati bahawa untuk kedua-dua bahasa sama ada Hebrew ataupun Greek yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun kalimah Allah digunakan.

Namun begitu ada juga di kalangan mereka yang memberi alasan bahawa penggunaan kalimah Allah ini ialah berdasarkan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi Bahasa Arab.

Bible versi Arab ini tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi lebih dikenali sebagai Kitab al-Muqaddas. Dan di dalam terjemahan Bible Melayu pula mereka menamakannya sebagai Kitab Berita Baik.

Lanjutan daripada itu juga perlu kita fahami bahawa kalimah Allah yang wujud di dalam Bible bahasa Arab tersebut adalah kerana sesetengah Kristian Arab seperti yang terdapat di Mesir, Syria, dan beberapa negara lain yang muncul sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. menerima dan meyakini faham Keesaan Tuhan. Di mana faham ini jauh berbeza dengan faham Trinity (tiga dalam satu) sepertimana doktrin kebanyakan Kristian pada hari ini.

Maka dengan itu hujah yang dijadikan sandaran untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini adalah tidak dapat diterima kerana golongan Kristian Trinity sendiri tidak menerima bahkan mengkafirkan golongan Kristian Unity.

Selain daripada hujah tersebut terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa kekeliruan tidak akan timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan tersebut adalah merujuk kepada terjemahan dari kalimah God dalam Bible bahasa Inggeris sedangkan kalimah Tuhan pula adalah terjemahan dari kalimah Lord.

Pandangan ini juga sebenarnya mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam Bible itu sendiri. Apakah bezanya antara Allah dan Tuhan dalam agama Kristian?

Sekiranya kalimah Tuhan merujuk kepada Jesus sedangkan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam Syurga, maka perlulah difahami dengan jelas di sini bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan yang merujuk hanya kepada Allah sahaja. Bagi membuktikan hal ini kita boleh merujuk kepada The Gospel Of St Mark 12:29 yang menyebut:

Jawab Jesus: Hukum yang terutama ialah : Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa".

Dalam ayat ini siapakah Tuhan Yang Esa yang dimaksudkan di dalam ayat di atas? Adakah ianya merujuk kepada Jesus? Pastinya tidak! Malah kalimah Tuhan yang dimaksudkan di atas adalah merujuk kepada Allah semata-mata. Dan hal ini sekali lagi bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible adalah merujuk kepada Jesus.

Sekiranya penghujahan ingin diteruskan lagi dengan menyatakan bahawa dalil yang paling jelas yang menunjukkan kalimah Tuhan adalah merujuk kepada Jesus dan kalimah Allah pula merujuk kepada Tuhan Bapa seperti yang sering dirujuk di dalam The Gospel Of St. Matius 16:22 yang menyebut:

Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia, katanya: "Tuhan (Jesus), Semoga Allah (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu".

Sekiranya ini dijadikan hujah dan alasan, maka mereka yang berkenaan perlu menyelesaikan dahulu percanggahan yang terdapat di antara kedua ayat yang telah dinyatakan tadi. Sama ada Tuhan itu merujuk kepada Jesus sahaja ataupun juga merujuk kepada Allah.

Malah kata-kata Jesus sendiri menjelaskan keEsaan Allah sepertimana yang terdapat dalam The Gospel of St. John 20:17 yang menyebut:

Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudaraKu dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada BapaKu dan Bapamu, AllahKu dan Allahmu."


Dalam kata lain Jesus bukanlah Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Jesus sendiri menyatakan bahawa Tuhan yang sebenar ialah Allah.

Maka jelaslah di sini bahawa kewajaran pihak kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah untuk digunakan oleh bukan Islam patut disokong oleh segenap masyarakat termasuk bukan Islam sendiri. Ianya adalah bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu akan mengundang padah yang akhirnya membawa kerugian kepada semua pihak. Adalah suatu yang amat malang apabila kesejahteraan hidup beragama di negara ini yang telah sekian lama bertahan atas dasar tolak ansur dan saling memahami, tiba-tiba digoncang oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin mencetus suasana ketegangan dan huru-hara