Friday, April 10, 2009

INTISARI Khutbah: Kepimpinan

Hakikatnya semua manusia itu adalah pemimpin. Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu

akan dipertanggungjawabkan apa yang dipimpinnya".

Dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi atau negara, pemimpin perlu proaktif melalui aspek keberkesanan gaya kepimpinannya terhadap pekerja atau rakyatnya. Seorang pemimpin tidak semestinya hanya seorang pengarah ataupun seseorang yang memegang jawatan tertinggi dalam organisasi mahupun negara.

Minbar Jumaat pada hari ini menyeru seluruh pemimpin dipelbagai peringkat mempunyai ciri-ciri antaranya:

1. Berpegang teguh dengan dasar hidup dan dasar perjuangan yang benar.

Dalam konteks umat Islam, pemimpin islam mestilah mereka yang berpegang teguh dengan akidah dan perjuangan Islam sebenar. Mereka bukan pengikut fahaman asabiah jahiliah atau fahaman Islam liberal atau fahaman Islam yang lain. Allah subhanahu wataala berfirman dalam surah al-Zahraf, ayat 43:

"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu, kerana sesungguhnya engkau berada diatas jalan yang lurus".

2. Penghayatan budaya ilmu.

Syarat ini amat perlu dipenuhi oleh setiap individu yang bergelar sebagai pemimpin. Segala tindak-tanduk dan corak kepimpinan mestilah bersandarkan ilmu lebih-lebih lagi dalam suasana cabaran globalisasi hari ini. Firman Allah dalam az-zumar ayat 9:

"Katakanlah : "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?. "Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

3. Mengikut syariat dan akhlak Islam.

Pemimpin terikat dengan peraturan-peraturan Islam dan boleh terus memegang amanah kepimpinan selagi ia mengikut perintah Allah. Semasa mengendalikan urusannya ia mesti patuh kepada adab-adab Islam khususnya ketika berurusan dengan rakyatnya. Firman Allah subhanahu wataala dalam surah al-Ahzab, ayat 36:

"Dan tidaklah wajar bagi lelaki dan perempuan mukmin apabila Allah dan Rasulnya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah wajar mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata".

4. Keterbukaan dan menerima pandangan yang baik.

'As-samahah' iaitu bersifat terbuka dan mengamalkan dasar bersedia menerima kritikan, bersedia mendengar, menerima pandangan, berbincang, menerima teguran dan mengamal pentadbiran dengan cara ia memiliki keyakinan diri, kental dan tidak merasa terancam dengan pandangan-pandangan-pandangan dan saranan orang lain. Firman allah dalam surah az-Zumar ayat 18:

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hadiah petunjukkan oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang diberi hadiah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna".

5. Pemimpin yang sentiasa bermuhasabah.

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang sangat kerap membuat penilaian terhadap tugas dan tanggungjawab serta memiliki tahap-tahap pencapaian dan natijah atas hasil usahanya. Tujuan penilaian dibuat ialah untuk mencari kelemahan-kelemahan supaya diperbaiki dan untuk melihat kejayaan-kejayaan yang boleh dipertingkatkan. Saidina Umar r.a berkata:

"Hasabalah diri kamu sebelum kamu dihasaba".

6. Pemimpin yang sanggup berkorban dan tidak mementingkan diri.

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang perhatian terhadap kepentingan rakyat umum. Dalam melaksanakan tugas beliau dapat membezakan kepentingan diri atau keluarga dengan kepentingan umum. Firman Allah dalam surah al-Asr ayat 9:

"Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bahilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya".

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikkan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang munkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". (Surah al-haj ayat 41).

KESIMPULAN

Sebagai seorang pemimpin hendaklah bertindak secara bijak, dedikasi dan menjadi teladan dalam kepimpinannya seperti:

1. Seorang pemimpin mestilah berani, sanggup berkorban dan menepati norma-norma dan nilai-nilai hidup secara Islam.

2. Bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan supaya kita menjadi manusia yang disayangi, dan dihormati.

3. Hendaklah mendorong dan mengutamakan kebajikkan dan kesejahteraan orang yang dipimpin serta bertanggungjawab kepada mereka di dunia dan di akhirat.

4. Menginsafi bahawa kepimpinan itu merupakan satu amanah dan mengkhianati amanah kepimpinan adalah merupakan dosa besar yang akan menerima hukuman Allah diakhirat nanti.

TEKS PENUH KHUTBAH (RUMI) / (JAWI) /(ENGLISH)

No comments:

Post a Comment