Showing posts with label Khutbah. Show all posts
Showing posts with label Khutbah. Show all posts

Friday, January 8, 2010

Khutbah Khas: 8 Januari 2010


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita dan menghadapkan seluruh jiwa raga kita kehadrat Allah S.W.T., dengan merenung, berfikir secara mendalam, tentang kebesaran Allah dan segala rahmat kurniaan-Nya.

Mereka yang sering mengingati Allah jiwanya akan tenang, hatinya akan tenteram, sehingga halus budi pekerti dan tutur katanya.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah ar-Ra'du: ayat 28:-

Bermaksud:
"Orang yang beriman menjadi tenang hatinya dengan mengingati Allah, ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah hati akan tenang".

Muslimin yang berbahagia,

Dalam Al-Quran yang mengandungi lebih daripada 600 halaman, kalimah Allah diulang-ulang setiap halaman. Mereka yang membaca seluruh Al-Quran akan menyebut lebih 20 ribu kali. Dalam solat pula, kalimah Allah disebut sebanyak 425 kali bagi 17 rakaat sehari semalam. Begitulah intimnya umat Islam dengan kalimah Allah.

Perkataan Allah menurut Ensiklopedia Islam adalah merujuk kepada sebutan atau nama Tuhan yang tiada Tuhan selain Allah atau Tuhan Yang Maha Esa.

Menurut ensiklopedia Katholik, ianya telah dicatat bahawa "perkataan Allah adalah kalimah dalam bahasa arab, ianya hanya digunakan di kalangan orang Islam bagi nama tuhan mereka".

Umum mengetahui perkataan Allah tidak pernah terdapat dalam bahasa asal perjanjian lama yang dikenali sebagai Taurat dan perjanjian baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Kitab Taurat ditulis dalam bahasa Hebrew, manakala Bible dalam bahasa Greek.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Khamis, 31 Disember 2009, yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah "Allah" amat memeranjatkan bagi semua umat Islam di seluruh negara. Berbagai reaksi telah timbul baik daripada individu, termasuk di kalangan ulama', ahli politik dan cendekiawan Islam, ataupun jawatankuasa masjid serta persatuan dan pertubuhan Islam.

Penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudharat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara agama seterusnya boleh membawa perpecahan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih-lebih lagi, apabila mengenangkan kelalaian umat Islam yang ada pada hari ini, telah memberi ruang kepada missionary bukan Islam mengambil kesempatan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Di samping itu, kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam, yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa, sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah seperti Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negara-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan mereka. Mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Umat Islam perlu sedar mengapa kumpulan tersebut memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara Arab dan kini di negara kita, Malaysia. Tahukah kita, apa sebabnya berlaku sedemikian?. Kesannya nanti, kita bimbang bahawa semua gereja akan ditukar kepada nama Baitullah (rumah Allah), bible juga akan dinamakan Kitabullah dan lebih keliru lagi apabila setiap agama yang ada di negara ini menggunakan nama tuhan mereka dengan nama Allah. Niat mereka adalah untuk menyamaratakan semua agama di negara ini. Sedangkan Islam itu adalah agama yang diredhai Allah SWT., tiada agama lain yang sebenarnya melainkan Islam. Kerana Islam datangnya daripada Allah sedangkan agama yang lain semuanya rekaan manusia semata-mata. Fikirkanlah!.

Sidang Jumaat sekalian,


Larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukan perkara baru. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat perkataan khusus iaitu; Allah, solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat sepuluh buah negeri telah memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam jadual kepada Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.
Demikian juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke - 82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008, telah memutuskan
bahawa:-

1. Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

2. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahwa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau
penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Agama Islam Selangor juga telah melaksanakan beberapa tindakan, antaranya pada 13 Mac 2009 yang lalu, mengadakan satu sidang akhbar bagi menyatakan pendirian MAIS berhubung isu ini di mana MAIS berpendirian bahawa penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja. Larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan penganut agama Islam terhadap konsep Keesaan Allah SWT.

Selain itu, MAIS turut menulis surat bertarikh 19 Mac 2009 bagi menyatakan pendirian ini kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Negara.

Muslimin yang dirahmati Allah,


Marilah kita menghadapi perkara ini dengan penuh bijaksana. Tindakan pertama kita ialah bersatu memperkukuhkan perpaduan. Kita padamkan segala permusuhan dan perbalahan di kalangan kita. Walaupun sebahagian kita berbeza ideologi, namun ianya tidak sampai menggadai maruah agama yang maha suci, semata-mata mempertahankan pangkat dan kuasa. Ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah ali-‘Imran: ayat 26:-

Maksudnya:
"Katakanlah (wahai Muhammad), "Wahai Tuhan yang mempunyai pemerintahan!, Engkaulah yang memberi pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Adalah diharapkan agar kita bertindak dengan penuh hikmah dan tidak mengambil tindakan yang melulu akibat keputusan mahkamah itu. Sebagai warga negara yang menghormati kedaulatan undang-undang, hendaklah kita bertindak dengan bijaksana di dalam lunas Undang-undang Negara. Pihak yang berkuasa sedang mengambil tindakan yang perlu mengikut proses undang-undang negara kita. Kita berdoa semoga tindakan yang mereka ambil diperkenankan dan diredhai oleh Allah S.W.T.

"Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka), "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada engkau".
(Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Teks khutbah JAIS "BERSATU MEMPERTAHANKAN KALIMAH ALLAH"

Friday, June 26, 2009

Rejab

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.

Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;

Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.


Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat di dalam bulan Rejab. Sesetengahnya pula akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang mereka lakukan di dalam bulan ini ada fadhilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Walaubagaimanapun, kebanyakan ulama mutakhirin menyatakan bahawa tanggapan ibadat-ibadat sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tanggapan yang tidak benar. Apa yang pasti bahawa bulan ini adalah termasuk di dalam kelompok bulan-bulan haram di mana umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat di dalam bulan-bulan ini samada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi.

Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada orang yang beramal soleh hanya Dia sahaja yang maha mengetahuinya. Oleh kerana itu, sudah sewajarnyalah di dalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dan mendapat keredhaannya.

Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis Nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira di dalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan sepertimana juga di dalam bulan-bulan yang lain, di antaranya ;

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;
Maksudnya ;

Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya."

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)

2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;

Maksudnya :
" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"

3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."

Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan-amalan ini, sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ini, sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus kedalam perkara-perkara maksiat dan masalah-masalah sosial yang lain.

Friday, June 12, 2009

Mimbar Jumaat: Kehidupan Hakiki

MERANCANG KEHIDUPAN HAKIKI


____________________________________________________________________________________________________________

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: "MERANCANG KEHIDUPAN HAKIKI".

Muslimin yang dirahmati Allah

Di hari yang mulia ini, Minbar Jumaat ingin mengingatkan kepada para jemaah sekalian betapa pentingnya kita merancang kehidupan hakiki iaitu kehidupan akhirat. Sedarilah bahawa kehidupan dunia bukanlah kehidupan hakiki dan ia diibaatkan perhenttian seorang musafir buat seketika untruk sampai ke tempat tujuannya. Justeru itu, setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat. Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya. Oleh itu, kita perlu sentiasa memuhasabah diri dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah taala bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para nabi dan rasul namun mereka mengingkarinya. Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27-30:

Maksudnya : “Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”

Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri muslim yang bijaksana ialah muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian. Sabda Rasulullah s.a.w :


Maksudnya : “Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).”

Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.

Rasulullah s.a.w telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadis baginda satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh. Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

Muslimin yang di rahmati Allah,

Hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat. Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.

Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad Fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.

Muslimin yang di rahmati Allah,

Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mau pun uhkrawi kerana islam adalah ad-din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah S.W.T. telah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah S.W.T. Baginda Rasululah S.A.W. pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh at-Termizi yang bermaksud:

Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”

Dan amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang soleh setelah ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah di antara ciri- ciri anak soleh yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan dalam sabdanya diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud:

“ Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia. ”

Muslimin yang di rahmati Allah,

Demikianlah antara beberapa amalan soleh yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat. Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak-anak agar menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa.

Maksudnya : Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa;

Friday, May 1, 2009

Mimbar Jumaat: Kerja Satu Ibadah

Sesungguhnya Islam telah mewajibkan umatnya untuk berusaha dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan didunia ini tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syariat Islam. Saranan tersebut telah jelas dalam Al-quran surah Al-A'raaf ayat 10 :

Maksudnya: "Dan sesungguhnya kami telah menetapkan kamu (memberi kuasa) dibumi, dan kami jadikan untuk kamu padanya berbagai jalan penghidupan supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".

Dari Ibnu Umar R.A. telah bersabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya: "Tidak diterima iman tanpa amal dan tidak diterima amalan tanpa iman".

Islam amat tegas dalam soal mencari nafkah hidup didunia. Walau bagaimanapun, Islam melarang manusia mementingkan dunia sehingga melupakan urusan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. melalui firmannya dalam surah Al-Qisas ayat 77 :

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadaMu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadaMu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakkan dimuka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakkan".

Sidang Jumaat sekalian,

Islam telah menetapkan satu prinsip yang jelas berkaitan sesuatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ibadat. Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya' Ulumuddin menjelaskan bahawa setiap pekerjaan itu hendaklah menepati ciri-ciri berikut iaiatu:

(1) Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjung perintah Allah.

(2) Kerja yang dilakukan tersebut tidak bercanggah dengan syariat Allah S.W.T.

(3) Kerja yang dilakukan adalah dengan bersungguh-sungguh dan tidak memudaratkan.

(4) Kerja tersebut tidak menghalang daripada menunaikan syariat Allah S.W.T. seperti solat, puasa dan sebagainya.

Sidang Jumaat sekalian,

Asas utama kerja yang dapat diterima sebagai ibadat ialah kerja yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T. Kerja yang dilakukan bukan kerana Allah S.W.T. adalah sia-sia dan tidak dianggap sebagai ibadat. Betapa pentingnya niat itu sehinggakan para ulamak telah meletakkan hadis berkaitan niat sebagai mukadimah dalam kitab-kitab mereka. Contohnya dalam kitab Matan Arbain susunan Imam Nawawi Rahimullah. Sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya : "Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat . Dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dinilai berdasarkan apa yang diniatkan" ( Riwayat Abu Daud )

Sidang Jumaat sekalian,

Selain dari niat yang suci kerana Allah S.W.T., pekerjaan tersebut perlu sesuai dan tidak bercanggah dengan syariat Allah. Hari ini ramai pekerja mengakui bekerja kerana Allah namun disebalik kerja yang dilakukan jelas ia bertentangan dengan Allah seperti membuka aurat, kerja ditempat yang diharamkan seperti tempat perjudian, kelab-kelab malam, tempat yang terlibat dengan riba' dan seumpamanya. Bagaimana mungkin kita boleh dikatakan kerja tersebut sebagai ibadat jika yang dilakukan bertentangan dengan syariat Allah?

Didalam sebuah hadis riwayat Bahari bahawa rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

"Manusia yang paling rugi pada hari kiamat ialah orang yang menerima rezeki dari sumber pekerjaan yang haram hingga mereka masuk neraka".

Begitu juga terdapat sebahagian pekerja pada hari ini, kadang-kadang mereka begitu bersungguh-sungguh dengan niat yang baik dalam kerja. Namun hakikatnya, mereka tidak menjaga hubungan dengan Allah dan manusia seperti mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, menipu, hasad dengki sesama rakan sekerja dan sering mengadu dumba. Mereka ini sebenarnya adalah orang yang rugi dalam kehidupan kerana menganggap mereka dapat kemuliaan disisi Allah tetapi sebenarnya mereka adalah orang yang tertipu. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 15 :

Maksudnya : "Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-quran tentang sah batalnya), maka kami akan sempurnakan hasil usaha mereka didunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya ".

Dalam memenuhi syarat untuk menjadikan kerja sebagai satu ibadat seterusnya ialah setiap pekerjaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerja yang dilakukan dapat memenuhi kehendak pelanggan dan dapat meningkatkan produktiviti serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Setiap pekerja perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan sedia menghadapi segala karenah dengan bersikap sabar, tekun, berwawasan dan seumpamanya. Adalah merupakan satu kesalahan jika kerja yang diamanahkan dibuat sambil lewa. Islam begitu tegas berkaitan kerja secara bersungguh-sungguh ini sehingga dijelaskan oleh Nabi S.A.W. :

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang diantara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh" (Riwayat At-Tabrani)

Sidang Jumaat sekalian,

Apa pun kedudukan kita dalam pekerjaan, kita akan dipersoalkan dan akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah S.W.T. Sama ada kita sebagai majikan ataupun sebagai pekerja, kita wajib untuk melaksanakan segala amanah yang dipikul. Kita juga wajib mematuhi segala peraturan dan hukum yang telah digariskan oleh islam. Sabda Nabi S.A.W. :

Maksudnya: "Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan, pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya" (Riwayat Muslim)

Sidang Jumaat sekalian,

Marilah kita bersama-sama bertekad dan menguatkan azam untuk meningkatkan kualiti kerja supaya kerja kita dinilai sebagai ibadat oleh Allah S.W.T. Semoga kehidupan kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T didunia dan diakhirat.

Maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tetap kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya".


Sidang Jumaat yang dikasihi,

Pada khutbah yang kedua ini saya ingin berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara semua tentang setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah merupakan satu ibadat dengan syarat kerja-kerja yang dilakukan mestilah pekerjaan yang halal. Begitu juga setiap umat islam wajib bekerja menyara hidup dan Allah memberi ganjaran syurga dan pengampunan kepada orang yang bekerja dengan cara yang halal.

Ya Allah, Engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat suburkanlah jiwa kami dengan budaya pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit , persengketaan , kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Friday, April 17, 2009

Intisari Khutbah: Kepentingan Solat Jumaat

Marilah kita semua bertakwa kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan suruhanNya dan menghindari laranganNya. Antara suruhanNya yang jelas nyata ialah menunaikan solat Jumaat bagi setiap umat Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 9:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)".


1. Ayat ini jelas menunjukkan suatu kewajipan mingguan umat Islam iaitu segera menyahut panggilan solat Jumaat. Mereka wajib meninggalkan premis perniagaan atau pejabat dan pekerjaan mereka demi untuk menghadirkan diri ke masjid dan demi solat fardhu Jumaat.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

"Menghadirkan solat jumaat itu adalah kewajipan setiap orang yang telah cukup umur baligh" - (Riwayat An-Nasa'i)

2. Apa yang merunsingkan kita akhir-akhir ini ialah semakin bertambah bilangan orang yang tidak menunaikan solat Jumaat. Begitu juga semakin ketara orang yang mensia-siakan kewajipan ini. Pada hal perkara itu sudah lama menjadi kewajipan.

3. Allah telah mewajibkan setiap umat Islam untuk menunaikan solat-solat tertentu secara harian dan mingguan sebagai fardhu ain yang mesti dilaksanakan demi membangun sifat-sifat kemanusiaan yang baik dan utuh dalam jiwa mereka. Tanpa solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat orang Islam akan runtuh sifat-sifat keislaman mereka. Iltizam mereka terhadap syariat Islam akan menjadi luntur. Mereka akan mudah berubah menjadi peruntuh sendi kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sesiapa yang meninggalkan solat fardhu secara sengaja maka dia kafir terang-terangan"- (Riwayat At-Tabrani)


4. Dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Seksyen 20:

"Mana-mana orang lelaki, yang baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar'i atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya".

5. Menjadi tanggungjawab, kepada setiap ibu-bapa dan guru-guru serta para pemimpin masyarakat berusaha memastikan anak-anak lelaki, pelajar-pelajar dan seluruh umat Islam tidak mengambil mudah tentang amalan solat Jumaat.

6. Rahsia mengapa Allah jadikan hari Jumaat ini penghulu segala hari ialah kerana Islam menjadikan hari Jumaat sebagai hari menghampirkan diri kepada Allah secara berjemaah dan secara mingguan. Pada hari ini digalakkan umat Islam menjadikannya hari cuti mingguan agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk membina ciri-ciri sahsiah yang baik dan murni.

Pada hari itu khasnya, anak-anak dilatih pergi bersama ayah mereka ke masjid untuk dibudayakan dengan amalan bersolat Jemaah dan Solat Jumaat dalam masjid kariah. Dengan itu mereka boleh datang awal ke masjid untuk beriktikaf, solat sunat, membaca Al-Quran, berdoa, belajar dan sebagainya.

6. Rasulullah S.A.W. bersabda, seperti yang diriwayatkan oleh Abi Sa'id Al-Khudri bermaksud: "Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat".

7. Hari ini kita dapati semakin ramai umat Islam yang meninggalkan solat Jumaat. Ada yang leka menjamu selera dan berbual-bual di kedai kopi ketika orang lain sedang menunaikan fardhu Jumaat. Ada yang mengambil kesempatan balik tidur di rumah tanpa merasa berdosa meninggalkan solat Jumaat. Ada pula yang pergi ke masjid tetapi tidak mahu menunaikan solat, sebaliknya bertenggong diatas tembok, basikal dan motorsikal tanpa merasa bersalah.

Mereka pulang bersama orang yang bersolat Jumaat pulang. Mereka tidak sedar bahawa hukum meninggalkan solat Jumaat walaupun sekali adalah berdosa besar. Allah telah menjanjikan hukuman yang berat kepada manusia seperti ini.

8. Jika kita tidak menunaikan solat Jumaat hati kita akan ditutup rapat dan tidak dapat lagi menerima kebaikan dan hidayah. Kita juga akan terpinggir dari rahmat Allah. Malah kita akan digolongkan bersama orang-orang yang munafik. Orang munafik ini menurut firman Allah dalam surah An-Nisa' bakal dihumban ke dalam neraka yang paling bawah, di dasar jahanam. Alangkah malang dan hinanya nasib manusia yang tidak mahu menunaikan solat Jumaat ini .

Allah berfirman dalam surah An-Nisa' ayat 145:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu di tetapkan pada tingkatan yang paling bawah di kolong neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka".

Kesimpulan khutbah kita pada hari ini ialah menghadiri solat Jumaat adalah Fardhu 'Ain atau wajib menurut empat mazhab ahli sunnah waljamaah.

Siapa yang mengatakan selain daripada itu adalah bercanggah dengan pendapat yang disepakati oleh ulama yang muktabar. Meninggalkan Jumaat akan mengakibatkan seseorang itu di jumlahkan dalam kalangan insan munafik. Manakala munafik akan menghuni neraka yang paling bawah.

TEKS PENUH KHUTBAH DI SINI| Jawi | English |

Friday, April 10, 2009

INTISARI Khutbah: Kepimpinan

Hakikatnya semua manusia itu adalah pemimpin. Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu

akan dipertanggungjawabkan apa yang dipimpinnya".

Dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi atau negara, pemimpin perlu proaktif melalui aspek keberkesanan gaya kepimpinannya terhadap pekerja atau rakyatnya. Seorang pemimpin tidak semestinya hanya seorang pengarah ataupun seseorang yang memegang jawatan tertinggi dalam organisasi mahupun negara.

Minbar Jumaat pada hari ini menyeru seluruh pemimpin dipelbagai peringkat mempunyai ciri-ciri antaranya:

1. Berpegang teguh dengan dasar hidup dan dasar perjuangan yang benar.

Dalam konteks umat Islam, pemimpin islam mestilah mereka yang berpegang teguh dengan akidah dan perjuangan Islam sebenar. Mereka bukan pengikut fahaman asabiah jahiliah atau fahaman Islam liberal atau fahaman Islam yang lain. Allah subhanahu wataala berfirman dalam surah al-Zahraf, ayat 43:

"Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu, kerana sesungguhnya engkau berada diatas jalan yang lurus".

2. Penghayatan budaya ilmu.

Syarat ini amat perlu dipenuhi oleh setiap individu yang bergelar sebagai pemimpin. Segala tindak-tanduk dan corak kepimpinan mestilah bersandarkan ilmu lebih-lebih lagi dalam suasana cabaran globalisasi hari ini. Firman Allah dalam az-zumar ayat 9:

"Katakanlah : "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?. "Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

3. Mengikut syariat dan akhlak Islam.

Pemimpin terikat dengan peraturan-peraturan Islam dan boleh terus memegang amanah kepimpinan selagi ia mengikut perintah Allah. Semasa mengendalikan urusannya ia mesti patuh kepada adab-adab Islam khususnya ketika berurusan dengan rakyatnya. Firman Allah subhanahu wataala dalam surah al-Ahzab, ayat 36:

"Dan tidaklah wajar bagi lelaki dan perempuan mukmin apabila Allah dan Rasulnya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah wajar mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata".

4. Keterbukaan dan menerima pandangan yang baik.

'As-samahah' iaitu bersifat terbuka dan mengamalkan dasar bersedia menerima kritikan, bersedia mendengar, menerima pandangan, berbincang, menerima teguran dan mengamal pentadbiran dengan cara ia memiliki keyakinan diri, kental dan tidak merasa terancam dengan pandangan-pandangan-pandangan dan saranan orang lain. Firman allah dalam surah az-Zumar ayat 18:

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hadiah petunjukkan oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang diberi hadiah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna".

5. Pemimpin yang sentiasa bermuhasabah.

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang sangat kerap membuat penilaian terhadap tugas dan tanggungjawab serta memiliki tahap-tahap pencapaian dan natijah atas hasil usahanya. Tujuan penilaian dibuat ialah untuk mencari kelemahan-kelemahan supaya diperbaiki dan untuk melihat kejayaan-kejayaan yang boleh dipertingkatkan. Saidina Umar r.a berkata:

"Hasabalah diri kamu sebelum kamu dihasaba".

6. Pemimpin yang sanggup berkorban dan tidak mementingkan diri.

Pemimpin yang cemerlang ialah pemimpin yang perhatian terhadap kepentingan rakyat umum. Dalam melaksanakan tugas beliau dapat membezakan kepentingan diri atau keluarga dengan kepentingan umum. Firman Allah dalam surah al-Asr ayat 9:

"Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bahilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya".

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikkan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang munkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". (Surah al-haj ayat 41).

KESIMPULAN

Sebagai seorang pemimpin hendaklah bertindak secara bijak, dedikasi dan menjadi teladan dalam kepimpinannya seperti:

1. Seorang pemimpin mestilah berani, sanggup berkorban dan menepati norma-norma dan nilai-nilai hidup secara Islam.

2. Bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan supaya kita menjadi manusia yang disayangi, dan dihormati.

3. Hendaklah mendorong dan mengutamakan kebajikkan dan kesejahteraan orang yang dipimpin serta bertanggungjawab kepada mereka di dunia dan di akhirat.

4. Menginsafi bahawa kepimpinan itu merupakan satu amanah dan mengkhianati amanah kepimpinan adalah merupakan dosa besar yang akan menerima hukuman Allah diakhirat nanti.

TEKS PENUH KHUTBAH (RUMI) / (JAWI) /(ENGLISH)