Friday, April 17, 2009

Intisari Khutbah: Kepentingan Solat Jumaat

Marilah kita semua bertakwa kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan suruhanNya dan menghindari laranganNya. Antara suruhanNya yang jelas nyata ialah menunaikan solat Jumaat bagi setiap umat Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 9:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)".


1. Ayat ini jelas menunjukkan suatu kewajipan mingguan umat Islam iaitu segera menyahut panggilan solat Jumaat. Mereka wajib meninggalkan premis perniagaan atau pejabat dan pekerjaan mereka demi untuk menghadirkan diri ke masjid dan demi solat fardhu Jumaat.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

"Menghadirkan solat jumaat itu adalah kewajipan setiap orang yang telah cukup umur baligh" - (Riwayat An-Nasa'i)

2. Apa yang merunsingkan kita akhir-akhir ini ialah semakin bertambah bilangan orang yang tidak menunaikan solat Jumaat. Begitu juga semakin ketara orang yang mensia-siakan kewajipan ini. Pada hal perkara itu sudah lama menjadi kewajipan.

3. Allah telah mewajibkan setiap umat Islam untuk menunaikan solat-solat tertentu secara harian dan mingguan sebagai fardhu ain yang mesti dilaksanakan demi membangun sifat-sifat kemanusiaan yang baik dan utuh dalam jiwa mereka. Tanpa solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat orang Islam akan runtuh sifat-sifat keislaman mereka. Iltizam mereka terhadap syariat Islam akan menjadi luntur. Mereka akan mudah berubah menjadi peruntuh sendi kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sesiapa yang meninggalkan solat fardhu secara sengaja maka dia kafir terang-terangan"- (Riwayat At-Tabrani)


4. Dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Seksyen 20:

"Mana-mana orang lelaki, yang baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar'i atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya".

5. Menjadi tanggungjawab, kepada setiap ibu-bapa dan guru-guru serta para pemimpin masyarakat berusaha memastikan anak-anak lelaki, pelajar-pelajar dan seluruh umat Islam tidak mengambil mudah tentang amalan solat Jumaat.

6. Rahsia mengapa Allah jadikan hari Jumaat ini penghulu segala hari ialah kerana Islam menjadikan hari Jumaat sebagai hari menghampirkan diri kepada Allah secara berjemaah dan secara mingguan. Pada hari ini digalakkan umat Islam menjadikannya hari cuti mingguan agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk membina ciri-ciri sahsiah yang baik dan murni.

Pada hari itu khasnya, anak-anak dilatih pergi bersama ayah mereka ke masjid untuk dibudayakan dengan amalan bersolat Jemaah dan Solat Jumaat dalam masjid kariah. Dengan itu mereka boleh datang awal ke masjid untuk beriktikaf, solat sunat, membaca Al-Quran, berdoa, belajar dan sebagainya.

6. Rasulullah S.A.W. bersabda, seperti yang diriwayatkan oleh Abi Sa'id Al-Khudri bermaksud: "Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat".

7. Hari ini kita dapati semakin ramai umat Islam yang meninggalkan solat Jumaat. Ada yang leka menjamu selera dan berbual-bual di kedai kopi ketika orang lain sedang menunaikan fardhu Jumaat. Ada yang mengambil kesempatan balik tidur di rumah tanpa merasa berdosa meninggalkan solat Jumaat. Ada pula yang pergi ke masjid tetapi tidak mahu menunaikan solat, sebaliknya bertenggong diatas tembok, basikal dan motorsikal tanpa merasa bersalah.

Mereka pulang bersama orang yang bersolat Jumaat pulang. Mereka tidak sedar bahawa hukum meninggalkan solat Jumaat walaupun sekali adalah berdosa besar. Allah telah menjanjikan hukuman yang berat kepada manusia seperti ini.

8. Jika kita tidak menunaikan solat Jumaat hati kita akan ditutup rapat dan tidak dapat lagi menerima kebaikan dan hidayah. Kita juga akan terpinggir dari rahmat Allah. Malah kita akan digolongkan bersama orang-orang yang munafik. Orang munafik ini menurut firman Allah dalam surah An-Nisa' bakal dihumban ke dalam neraka yang paling bawah, di dasar jahanam. Alangkah malang dan hinanya nasib manusia yang tidak mahu menunaikan solat Jumaat ini .

Allah berfirman dalam surah An-Nisa' ayat 145:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu di tetapkan pada tingkatan yang paling bawah di kolong neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka".

Kesimpulan khutbah kita pada hari ini ialah menghadiri solat Jumaat adalah Fardhu 'Ain atau wajib menurut empat mazhab ahli sunnah waljamaah.

Siapa yang mengatakan selain daripada itu adalah bercanggah dengan pendapat yang disepakati oleh ulama yang muktabar. Meninggalkan Jumaat akan mengakibatkan seseorang itu di jumlahkan dalam kalangan insan munafik. Manakala munafik akan menghuni neraka yang paling bawah.

TEKS PENUH KHUTBAH DI SINI| Jawi | English |

No comments:

Post a Comment