Monday, May 11, 2009

Riba

- Oleh Ustaz Ridzuan Hashim, Mantan Imam MDESJ


Definisi


Riba berasal dari perkataan Arab yang pada bahasanya bererti tambahan atau lebihan atau tumbuh. Dalam istilah syarak riba mengandungi tiga bentuk definisi berdasarkan bentuk-bentuk urusniaga tertentu sepertimana berikut:


a) Hutang – iaitu bayaran lebih daripada pokok mengikut perjanjian yang telah disyaratkan.


b) Jual beli riba – iaitu akad ke atas pertukaran tertentu yang tidak diketahui persamaan pada timbangan atau sukatan yang diakui oleh syarak.


c) Pertukaran matawang dan bahan-bahan jenis ribawi seperti menangguhkan penyerahan salah satu bahan yang ditukarkan atau dijual beli.


Hukum Riba Dan Dalilnya


Para ulamak telah bersepakat bahawa hukum riba dan bermuamalah dengannya adalah haram. Sebarang muamalah, jual beli atau perniagaan yang disertai dengan riba adalah tidak sah. Ia termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar. Ini berdasarkan kepada dalil-dalil sepertimana berikut:


Al Quran


Lihat Firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 275,276 dan 278-279. Dalam ayat 275, secara jelas, terang dan nyata Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia telah mengharamkan riba. Dalam ayat 276 Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia menghapus dan memusnahkan riba. Manakala dalam ayat 278, Allah memerintahkan supaya meninggalkan segala bentuk saki baki riba sama ada sedikit atau banyak dan mengisytiharkan perang bersama RasulNya terhadap mereka yang tidak berhenti daripada amalan riba tesebut sebagaimana dalam ayat 279.


Al Hadis

Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: Jauhilah kamu tujuh perkara yang membinasakan (dosa-dosa besar)…disebut antaranya ialah memakan riba.

Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud yang bermaksud bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi makan, saksinya dan penulisnya.


(Hadis riwayat Abu Daud dan hadis yang sama juga diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir bin Abdullah dan juga oleh al Bukhari dengan maksud yang sama daripada Abu Juhaifah).


Dari Abdullah bin Mas’ud r.a. dari Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam sabdaNya yang bermaksud: Riba itu ada 73 pintu. Yang paling ringan dosanya adalah seumpama seseorang yang berzina dengan ibunya sendiri dan seburuk-buruk riba (dengan maksud perbuatan yang haram) ialah seseorang yang mencela dan menjatuhkan maruah seseorang muslim yang lain.

Hadis riwayat Abu Daud secara ringkas dan al Hakim telah meriwayatkannya dengan sempurna dan mensahihkannya.


Berdasarkan dalil-dalil di atas maka para ulamak telah berijmak menyatakan bahawa riba adalah haram. Kata al Mawardi: “ Sehingga dikatakan ia tidak dihalalkan dalam syariat sama sekali ”(iaitu sama ada syariat Nabi Muhammad atau nabi-nabi terdahulu), kerana Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud: Dan juga disebabkan mereka mengambil riba padahal mereka dilarang melakukannya….( surah al Nisa’ ayat 161).

Maksudnya diharamkan dalam kitab-kitab yang lalu.


Jenis Riba


Riba terbahagi kepada empat jenis. Dua daripadanya termasuk ke dalam kumpulan riba hutang piutang (Riba al Duyun) manakala dua lagi termasuk ke dalam riba jual beli (Riba al Buyu’).

Riba Hutang Piutang


a) Riba al Qardh – iaitu sesuatu manfaat atau faedah untuk tuan punya hutang yang disyaratkan ke atas hutang piutang yang diberi kepada si berhutang.


b) Riba al Jahiliyyah – iaitu bayaran yang lebih daripada hutang asal atau pokok yang dikenakan ke atas si berhutang kerana tidak membayar hutangnya dalam tempoh yang ditetapkan. Setengah ulamak menyebut bahawa ini adalah Riba al Nasi’ah kerana ada unsur bayaran tambahan (riba) disebabkan penangguhan tempoh bayaran.



Riba Jual Beli


a) Riba al Fadhl – iaitu pertambahan atau perbezaan kuantiti dalam pertukaran atau jual beli barang-barang yang sama sejenis dari kumpulan barang-barang jenis ribawi.


b) Riba al Nasi’ah atau Riba al Yad – iaitu penangguhan penyerahan atau penerimaan barang pertukaran bahan ribawi sesama jenis iaitu penyerahan barang pertukaran daripada salah satu pihak pada masa lain.


Para ulamak bersepakat bahawa jual beli yang tidak sama timbangan atau sukatan barang-barang ribawi berikut maka ia adalah Riba al Fadhl yang diharamkan. Barang ribawi tersebut ialah emas, perak, gandum, sekoi, buah tamar dan garam sebagaimana yang disebutkan dalam hadis riwayat al Bukhari dan Muslim daripada Abu Said al Khudri dan juga riwayat Muslim daripada ‘Ubadah bin al Somit.


Terdapat dua asas bahan-bahan ribawi mengikut Mazhab Syafi’e iaitu (i) matawang: Emas dan Perak sama ada ia berbentuk wang atau barang-barang kemas. Ulamak-ulamak sekarang berpendapat bahawa wang kertas juga adalah bahan ribawi yang termasuk di bawah asas matawang. Manakala yang ke (ii) ialah bahan makanan sama ada yang asasi atau bukan asasi seperti daging, buah-buahan, garam dan sebagainya. Oleh itu tidak sah menjual daging dengan daging yang tidak sama timbangan dan tidak berlaku serah menyerah pada masa yang sama walaupun daging-daging itu daripada jenis haiwan yang berlainan


kerana daging adalah bahan makanan maka ia adalah bahan ribawi.

Jual beli antara bahan-bahan ribawi yang sama jenis seperti emas dengan emas dan beras dengan beras hendaklah memenuhi syarat-syarat sama timbangan atau sukatan dan berlaku serah menyerah dalam satu masa dan majlis atau tempat aqad yang sama untuk mengelakkan daripada berlakunya riba.

Boleh jual beli antara bahan-bahan ribawi yang berlainan jenis seperti emas dengan perak dan beras dengan gula tanpa sama timbangan atau sukatan tetapi hendaklah berlaku serah menyerah dalam satu masa yang sama.


Boleh jual beli antara bahan-bahan ribawi yang berlainan asas seperti beras dengan emas, gandum dengan perak dan seumpamanya tanpa sama timbangan atau sukatan dan tanpa serah menyerah pada satu masa yang sama.

Jual beli bahan-bahan ribawi dengan bahan-bahan bukan ribawi tidak disyaratkan persamaan dan serah menyerah pada satu masa yang sama. Dan boleh jual beli bahan-bahan bukan ribawi dengan yang sejenis dengannya tanpa persamaan dan tanpa serah menyerah pada masa yang sama seperti menjual seekor lembu dengan dua ekor lembu secara tangguh.


Boleh juga jual beli matawang yang berlainan jenis logam dan berlainan negara dengan berlainan harga seperti menjual Ringgit Emas Malaysia dengan Riyal Perak Saudi dan seumpamanya sebagaimana dalam perniagaan tukaran wang asing pada hari ini, dengan syarat ia dilakukan serah menyerah dalam satu masa yang sama (Yadan bi Yadin) untuk mengelakkan daripada Riba al Nasi’ah.

Tidak boleh menjual beli mata wang yang sama sejenis dengan harga yang lebih atau kurang seperti membeli RM 90 dengan harga RM 100 atau dengan ditangguh penyerahan daripada satu pihak. Jual beli pertama adalah Riba al Fadhl dan cara kedua adalah Riba al Nasi’ah.


Akibat Dan Hukuman Ke Atas Mereka Yang Terlibat Dengan Riba


a) Dibangkitkan pada hari kiamat daripada kubur mereka dalam keadaan seumpama berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan syaitan itu. Ketika dibangkitkan, seluruh manusia bersegera ke padang mahsyar sedangkan golongan ini, Allah Ta’ala besarkan perut mereka kerana memakan riba yang diharamkan sehingga membebankan mereka ketika hendak berjalan. Setiap kali bangun berdiri, mereka akan jatuh. Mereka mahu segera ke padang mahsyar seperti manusia yang lain, tetapi mereka tidak mampu. Lihat Firman Allah- Surah al Baqarah ayat 275.


b) Dalan satu riwayat menyebutkan bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Ketika Aku diangkat ke langit (dalam peristiwa isra’ dan mikraj), Aku telah mendengar di langit yang ke tujuh di atas kepalaKu (suara tempikan) seumpama guruh dan teriakan yang kuat. Dan Aku telah melihat segolongan manusia yang perut mereka ke depan mereka seumpama sebesar rumah. Di dalamnya terdapat ular-ular dan kala jengking yang dapat dilihat dari luar perut mereka. Aku pun bertanya: Siapakah itu wahai Jibril? Jawab Jibril: Mereka itulah yang memakan riba.

(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam hadis yang panjang dan juga Ibnu Majah serta Al Asbahani dalam bentuk yang diringkaskan. Kesemunya adalah daripada riwayat Ali bin Zaid daripada Abi al Solt daripada Abu Hurairah r.a.- Riwayat ini disebutkan oleh al Imam al Zahabi dalam kitabnya al Kaba-ir).


c) Dalam satu hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Samrah r.a., padanya ada menyebutkan bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang memakan riba akan diazab bermula sebaik sahaja dia mati sehinggalah ke hari kiamat dengan berenang dalam sungai merah seumpama darah. Dilontar kepadanya batu-batu yang merupakan harta haram yang dikumpulkannya semasa didunia. Dicampakkan batu-batu daripada neraka itu ke dalam mulutnya sebagaimana dia menelan harta haram yang dikumpulkannya semasa di dunia. Inilah azab ke atasnya semasa dia berada di alam barzakh sebelum dibangkitkan pada hari kiamat beserta laknat Allah ke atasnya. (Hadis Riwayat al Bukhari)


d) Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda telah bersabda yang bermaksud: Empat golongan yang menjadi hak ke atas Allah untuk tidak memasukkan mereka ke syurga dan merasai akan nikmatnya: iaitu Penagih arak, orang yang memakan harta riba, orang yang memakan harta anak yatim secara batil dan penderhaka kepada kedua ibubapanya kecuali jika merteka bertaubat.


e) Al Imam al Zahabi menaqalkan dalam kitabnya al Kaba-ir bahawa terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa golongan yang memakan riba akan dikumpulkan di padang mahsyar dalam bentuk rupa anjing dan babi disebabkan helah mereka dengan mencipta pelbagai alasan dan kekeliruan bagi membolehkan mereka memakan riba sebagaimana segolongan yahudi yang diubah rupabentuk mereka kepada kera-kera yang hina disebabkan helah mereka untuk membolehkan mereka keluar menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka membuat lubang bagi memerangkap ikan pada hari Sabtu kemudian mereka pergi mengambil ikan yang terperangkap tersebut pada hari Ahad. Dengan ini mereka mendakwa bahawa mereka tak tangkap ikan pada hari Sabtu sebagaimana yang dilarang oleh Allah Ta’ala. Itulah helah mereka yang menyebabkan mereka menerima hukuman tersebut.


.

No comments:

Post a Comment